Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?� Soalan ini
sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah
Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat
wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa
bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona
melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana
mereka sedang tercari-cari identiti diri.
Kali pertama aku
memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku
bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak
mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku,
ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan
tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun
aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya
bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi
lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih
istimewa pada pandangan-Nya.
Ketika remaja, aku hampir tidak
sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu
apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu.
Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang
kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor
(kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa
kalian selamanya harum dalam ingatan.
Yang Tertutup Itu Indah
Ketika
kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima,
�Yang tertutup itu indah!� Jawapan yang membawaku mengkaji surah
al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.
Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud: �Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak
perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, �hendaklah mereka
melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya
mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu."
Ya,
sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan
pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit
bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak
bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap.
Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup
itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan
menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh
insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.
Istimewa Bertudung Labuh
Di
sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat.
Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam
hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar
istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan
asbab tudung labuh.
Dikejar Tebuan Tanah
Dalam
satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang
fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku
mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat
dan doa dimulakan.
Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba
peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah
berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan
kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku
yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas
mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.
Sementara
aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung
labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi
beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak
disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan
pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang
menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.
Terlindung daripada Mata Mat Rempit
Suatu
hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan
semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan
berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini
penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan
bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.
Akhirnya kumembeli
tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum
menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di
Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan
mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara
pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh
sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh
dari pemandu.
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat
penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam
keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat
mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.
Ya Allah! Aku
terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat
bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood
seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada
peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu.
Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.
Aku
berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus.
Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang
bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan
mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia
kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar
dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu
aku bertawakal.
Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan
Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku
melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata
seandainya anjing itu mendekatiku.
�Di mana?� Tanya Puan Norliza.
Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula,
aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid.
Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid.
Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.
Tiba-tiba,
sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya
berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada
mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu
kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat
al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia.
Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku
menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna
malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.
Saat
yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang
sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku
kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang
memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua
kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad
mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!
Allah
menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu
sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik
kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan
asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza
mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku.
Tiba-tiba
samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi.
Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke
arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku.
Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna
gelap itu. Alhamdulillah!
Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut
Seorang
temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana.
Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera
bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan
juraian air mata.
Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut
beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung
dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan
tangannya tercalar. Berdarah.
Aku sedih mendengar ceritanya. Dia
memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, �Jika akak pakai tudung
labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.� Kata-kata itu
membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah
s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar,
rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg
tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya
kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh,
pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?
Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh
Aku
hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi
akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati
penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia
mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang
agak cepat menerima pinangan.
Suamiku mengakui antara faktor yang
meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah
kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya
berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas
hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang
suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri
terlebih dahulu.
Pernah juga aku dan suami cuba memadankan
beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali.
Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya
menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang
sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu
melambatkan jodohnya.
Benar, kita tidak boleh menilai seseorang
hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu
singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang
sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti,
jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai
yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai
kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang
lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum
mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu?
Fikir-fikirkan.
Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat
Ya!
Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, �Ramai saja
yang bertudung labuh tapi tak baik.� �Tudung tak labuh pun masih tutup
aurat.� �Don�t judge people by its cover.� Kuhormati semua kata-kata ini
sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku
cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan
kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang
pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.
sumber: solusi isu 21, tulisan fatimah syarha
No comments:
Post a Comment